Covid-19: Dua kluster baharu di Selangor

0
2

DUA lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor dengan kedua-dua kes indeks membabitkan lelaki warga Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster terbabit ialah Kluster Seri Setia yang sudah menjangkiti empat individu, dan Kluster Seri Anggerik dengan 14 kes positif, setakat ini.

Kluster Seri Setia dikenal pasti di Seri Setia, Selangor, dan Kuala Lumpur.

Kes indeks kluster ini (kes 10,927) ialah lelaki warga Malaysia berumur 36 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada 16 hingga 20 September lalu.

“Beliau bergejala sejak 21 September lalu dan saringan COVID-19 dikesan positif pada 27 September. Kes kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif dikenal pasti. Semua kes positif itu membabitkan rakyat Malaysia dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, 23 individu telah disaring dengan empat dikesan positif, 14 negatif dan lima masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Seri Anggerik pula dikenal pasti di Hulu Selangor dengan kes indeks (kes 10,776) berumur 37 tahun mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dari 9 hingga 18 September lalu.

“Beliau mula bergejala sejak 25 September lalu dan telah disaring. Selepas dikesan positif pada 26 September lalu, beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 14 lagi kes positif dikenal pasti. Semua kes positif membabitkan rakyat Malaysia dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Sejumlah 67 individu telah disaring dengan 14 dikesan positif, 15 negatif; dan 38 lagi masih menunggu keputusan. Punca jangkitan juga masih dalam siasatan,” katanya. -Malaysiapost