KEPUTUSAN pelaksanaan cuti hujung minggu di Johor diubah kepada Sabtu dan Ahad masih belum dibuat oleh kerajaan negeri dan kajian mengenainya masih dilaksanakan, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurutnya, kajian itu membabitkan pelbagai pemegang taruh selain perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
“Penyelarasan cuti hujung minggu Johor hebat dibicarakan malah menjadi buah mulut bangsa Johor kerana ramai ibu bapa yang bekerja di sektor swasta hanya dapat meluangkan masa selama satu hari sahaja dengan anak-anak mereka.
“Hal ini disebabkan perbezaan hari cuti hujung minggu sejak 2014. Penyelarasan perlu dibuat supaya ibu bapa boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, hari ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, berkata setiap pandangan berhubung pelarasan cuti minggu di Johor diterima dengan baik dan akan diteliti.
“Pelbagai cadangan telah diberikan, ada yang mahu ia kekal hari Jumaat dan Sabtu supaya mudah pergi solat. Ada yang mahu ia diubah ke Sabtu dan Ahad supaya selari dengan kerajaan Persekutuan.
“Ada juga yang mahu masa rehat hari jumaat yang lebih panjang, ada juga yang mahu cuti dua hari setengah malah ada yang mahu cuti tiga hari seminggu,” katanya.
Pada 14 Jun lalu, kerajaan Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri ini.
Onn Hafiz dilaporkan berkata, beliau maklum mengenai keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza antara pihak kerajaan dan swasta. – Malaysiapost

