PENULARAN Covid-19 di negara ini semakin membimbangkan apabila angka jangkitan baharu terus melonjak dengan 287 kes dilaporkan hari ini.
Ia adalah yang tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata negeri mencatat jumlah tertinggi kes baharu ialah Kedah membabitkan 129 kes, diikuti Sabah (113) dan Kuala Lumpur (31).
Beliau berkata, semua kes jangkitan baharu berkenaan membabitkan penularan tempatan.
“Daripada jumlah penularan tempatan itu, 20 kes dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.
“Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak 139 kes,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, seramai 22 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau memaklumkan setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 81 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatifnya 10,095 kes (85.8 peratus).
“Tiada kematian baharu direkodkan, hari ini, dengan jumlah kumulatifnya kekal 136 kes,” katanya. -Malaysiapost

