TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed, menyerahkan kepada parti untuk menentukan siapa calon penggantinya yang akan bertanding di kawasan Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai, bersedia menerima sesiapa sahaja sama ada anak tempatan atau orang luar yang ingin menjadi calon di kawasan itu selepas beliau memutuskan untuk melepas dan tidak bertanding di kerusi berkenaan.

“Jika Pengerusi MCA Johor, Datuk Seri Wee Ka Siong nak beralih angin dari Ayer Itam ke Pulai pun saya amat mengalu-alukan. Mungkin Ka Siong boleh tarik pengundi Cina di Pulai untuk kembali pilih dia sebagai Ahli Parlimen baru.
“Mungkin Ka Siong boleh buktikan memang betul dakwaan beliau bahawa orang Cina sudah kembali sokong Barisan Nasional (BN) sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
“Lagipun pejabat MCA Negeri Johor pun ada di Bandaraya Johor Bahru, mudah sikit Ka Siong nak buat kerja-kerja wakil rakyat kalau dia menang nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Nur Jazlan juga terbuka hati jika Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang selalu bangga menang besar di kawasan majoriti Melayu itu datang bertanding di Pulai.

“Mungkin dengan ketokohan dan kehebatan beliau sebagai salah seorang Ahli Parlimen paling senior dalam BN, Nazri boleh menang besar di Parlimen Pulai ini.
“Barulah Nazri boleh dabik dada bahawa dialah hero dan hulubalang sebenar dalam Umno/BN,” sindirnya.
Beliau turut mempelawa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk menjadi calon BN di Pulai dalam PRU-15 nanti memandangkan Ahli Parlimen Rembau itu sudah membuat pengorbanan besar dengan ‘rela’ menyerahkan kerusi Rembau kepada Ketua Bahagiannya yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Jadi, saya sebagai Timbalan Pengerusi Umno Johor berjiwa besar untuk memberi laluan kepada KJ (Khairy) yang sedang mencari kerusi lain untuk bertanding pada PRU-15 nanti.
“Saya rasa kerusi Pulai ini sesuai untuk KJ kerana ratio pengundi pelbagai kaum, 48 peratus Melayu; 40 peratus Cina; 12 peratus India dengan 160,000 jumlah pengundi (Data terkini: PRN Johor).
“Kerusi Pulai ini ibarat kerusi Parlimen Keluarga Malaysia memang secocok dengan KJ yang kini berada dalam Kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.
Nur Jazlan turut mempersilakan ‘pahlawan-pahlawan’ Umno dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk datang bertanding di Parlimen Pulai.
“Usah cakap bergegar-gegar dalam kedai kopi di pekan Arau, Pasir Salak, Ketereh, Lipis atau Padang Terap saja. Cubalah pula berceramah di kafe, restoran atau kopitiam di Perling, Permas atau Stulang, baru kamu tahu langit itu tinggi atau rendah.
“Sila datang bertanding di kerusi-kerusi bandar seperti Pulai, Johor Bahru dan Pasir Gudang, yang ratio pengundinya hampir setara.
“Rasailah sendiri bagaimana peritnya untuk menarik undi terutamanya daripada orang Cina. Kalau hebat sangat cubalah pujuk pengundi Melayu bandar untuk keluar mengundi dan mereka pangkah BN seperti dulu,” katanya. – Malaysiapost

