DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menyatakan penegasan berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dengan Kepulauan Riau.
Ketua Pembangkang itu berkata, beliau memandang serius pandangan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu.
“Saya menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan penegasan segera agar ia tidak berlarutan kerana pandangan tersebut tidak mewakili kerajaan atau rakyat Malaysia.
“Penjelasan ini juga diperlukan bagi mengelak dan menjejaskan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Singapura serta Indonesia,” katanya di Facebook, hari ini.
Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris, memetik Dr Mahathir menyatakan Singapura pernah dimiliki oleh Johor dan negeri berkenaan sepatutnya menuntut Singapura dikembalikan semula kepada Malaysia.
Ahad lalu, media melaporkan, Dr Mahathir menyatakan bahawa bukan hanya Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh harus dikembalikan, sebaliknya mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura.
Menurutnya, ia berikutan Riau dan Singapura adalah sebahagian Tanah Melayu berdasarkan sejarah. -Malaysiapost

