TINDAKAN PAS Perak menawarkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan pandangan parti tersebut dan tidak melibatkan Bersatu.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata Perikatan Nasional (PN) tidak pernah berbincang untuk menawarkan Tajuddin menjadi calon gabungan itu.
Beliau yang juga Pengerusi PN Perak berkata, urusan mengenai calon dan kerusi merupakan hak pucuk pimpinan untuk menentukan sebarang keputusan.
“Saya tak boleh komen perkara yang tidak melibatkan saya. Itu hak pucuk pimpinan, kami tidak berbincang tentang perkara itu (tawaran kepada Tajuddin).
“Kita tidak terlibat dalam parti orang lain. Ia terpulang kepada Pas, itu hak mereka untuk bagi pandangan. Bagi pihak Bersatu kita tak bincang pun tentang perkara itu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Ipoh, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerjasama parti-parti PN di Perak kekal utuh dan kuat.
Beliau berkata, biarpun tiada perbincangan lanjut mengenai pembahagian kerusi pada PRU15 kesemua parti bersepakat untuk bertanding atas nama PN.
Terdahulu, PAS Perak mempelawa Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak untuk bertanding atas tiket PN pada PRU15.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata parti itu bersedia menawarkan Tajuddin bertanding mewakili PAS jika Pasir Salak menjadi milik parti dalam pembahagian kerusi bersama PN.
Beliau berkata demikian sebagai membayangkan kemungkinan Tajuddin tidak diberi peluang bertanding lagi di kerusi tersebut pada PRU15 mewakili Barisan Nasional (BN).
Ia susulan Tajuddin pada Khamis lalu digugurkan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno. – Malaysiapost

