KESAN kenaikan harga barang termasuk ayam turut menjejaskan pengusaha kantin sehingga ada yang terpaksa gulung tikar, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata, situasi itu disifatkan amat membimbangkan dan kerajaan diminta mencari jalan menyelesaikan segera.
“Makin lama makin sakit. Kenaikan harga makanan naik dah mula terasa dan ternampak. Semalam pula kerajaan U-turn dengan harga siling ayam.
“Dah sampai tahap pengusaha kantin terpaksa kena gulung tikar. Domino yang akan jatuh lepas ni siapa pula? Teliti juga solusinya. Jangan ketepikan atau pandang remeh masalah mereka.
“Rakyat semua sangat terkesan dan sakit dengan kenaikan kos sara hidup tinggi,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau memohon pihak Kementrian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius permasalahan yang dihadapi pengusaha kantin ini.
“Jangan membiarkan isu ini sampai terlambat. Jangan biar sampai negara dan rakyat tenat,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Syed Saddiq bekata, tindakan kerajaan melakukan pusingan U terhadap harga siling ayam, disifatkan tidak tetap pendirian dan akan menyusahkan rakyat.
“U-turn tak habis-habis. Beberapa hari lepas kata nak mansuhkan harga siling ayam. Hari ni (semalam) kerajaan u-turn pula. Tak jadi mansuh. Maksudnya kerajaan bila buat keputusan nak hapus harga siling ayam tu – tak fikir dulu ke?
“Jadi, kenapa kerajaan susah nak faham masalah kos sara hidup rakyat? Ini baru harga ayam. Harga lain nanti ada pusingan U lagi ke macam mana?,” katanya. – Malaysiapost

