AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang baharu dilantik, Isham Jalil berazam akan melaksanakan tanggungjawab serta terus berjuang demi kehidupan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.
Justeru, Isham berkata, beliau juga bertekad akan memperjuangkan isu berkaitan kos sara hidup rakyat yang meningkat sebagai agenda besar perjuangannya selepas dilantik ke jawatan itu, malam tadi.
Katanya, beliau tidak akan membiarkan isu berkenaan berlarutan, sebaliknya, akan cuba mencari penyelesaian secepat mungkin.
“Sekarang ini banyak isu yang perlu diselesaikan. Jadi, kita tak boleh tunggu lama-lama terutama isu berkenaan kos sara hidup, isu harga barang naik.
“Bila orang tak makan kita tak boleh tunggu lama lagi, kita kena bincangkan dan kena selesaikan cepat-cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat MKT Umno malam tadi.
Terdahulu, Isham yang juga bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor mengangkat sumpah dihadapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ahli MKT malam tadi.
Dalam pada itu, Isham berkata, beliau akan cuba memberikan idea-adea yang boleh disampaikan kepada kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap situasi yang berlaku ketika ini.
Sementara itu, menerusi Facebooknya, Isham menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana memberikan kepercayaan dan peluang kepadanya untuk menggalas tanggungjawab itu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan tertinggi parti dan ahli-ahli MKT Umno kerana telah menyokong perlantikan saya ini.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua akar umbi Umno yang telah bersama-sama saya dalam perjuangan kita selama ini,” katanya. – Malaysiapost

