Skuad sukarelawan KBS-MBM bantu pantau harga barang

0
2

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil langkah proaktif menggerakkan belia sebagai sukarelawan bagi memantau kenaikan harga barang di pasaran.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata skuad sukarelawan KBS dan MBM itu akan melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaras dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKTA 723) sekiranya mengesan  eksploitasi harga barang.

“Kementerian mengambil maklum situasi semasa di mana rakyat melaporkan kenaikkan harga barang sedang berleluasa. 

“Skuad sukarelawan ini akan memainkan peranan di lapangan bagi memantau sebarang eksploitasi kenaikan atau lonjakan harga di pasaran seterusnya dilaporkan kepada KPDNHEP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata tindakan itu dilakukan selaras dengan pengumuman terkini kerajaan yang melibatkan pemberian subsidi ke atas beberapa makanan asas. 

“KBS yakin kerjasama strategik bersama MBM ini mampu menggerakkan golongan belia bagi membantu kerajaan memastikan kepentingan pengguna dilindungi dan terpelihara. 

“Untuk tujuan tersebut, Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara  (JBSN) bersama MBM akan mengaktifkan sukarelawan belia di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here