Penyanyi Jason Lo bebas tuduhan dadah

0
2

PENYANYI Jason Jonathan Lo atau lebih dikenali sebagai Jason Lo dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur daripada tuduhan memasukkan dadah ke dalam tubuh badannya, tiga tahun lalu.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif memutuskan untuk tidak memanggil Jason untuk membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie. Mahkamah turut memerintahkan agar wang jaminan dikembalikan, lapor Utusan Malaysia.

“Hari ini ditetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan dan kamu dipertuduhkan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Mahkamah ini telah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan serta eksibit yang telah dikemukakan dan melakukan satu penelitian maksima atas hujah kedua-dua pihak.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu kamu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan kamu dipulangkan. Alasan penghakiman akan disediakan pada atau sebelum 30 Jun ini,” kata Mohamad Fared.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad manakala Jason Lo diwakili peguam bela, Datuk Hariharan Tara Singh.

Jason,47 yang juga bekas Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi tempatan sebelum ini, dituduh memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badan.

Dia didakwa melakukan kesalahn itu pada jam 5.15 petang, 15 November 2019 di tandas Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Jalan Travers.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan wajib diletakkan bawah pengawasan tidak kurang dua tahun dan atau tidak melebihi tiga tahun.

Ketika ditemui selepas tamat prosiding, Jason berterima kasih kepada pasukan peguam yang telah bekerja keras sepanjang kes ini berjalan dan bersyukur keadilan berpihak pada dirinya.

Pada 13 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here