Kerajaan wajib campur tangan isu FGV – Pemuda Umno

0
3

PEMUDA Umno mempersoalkan apakah asas pertimbangan untuk menaikkan elaun Pengerusi FGV Holdings Bhd (FGV) sehingga RM480,000 setahun.

Malah ia tidak termasuk elaun lain seperti RM2,000 setiap kali mempengerusikan mesyuarat, elaun kenderaan RM180,000 setahun dan kereta baharu 2,000 cc ke atas.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mempersoalkan rasional menaikkan elaun ahli-ahli lembaga pengarah yang lain sehingga RM150,000 setahun tidak termasuk RM2,000 setiap kali mesyuarat.

Ini kerana katanya, prestasi FGV tidaklah memberangsangkan apabila harga saham terus menjunam jatuh sebanyak 16 peratus daripada RM1.73 pada 1 Jun kepada RM1.50 apabila diperdagangkan RM4.55 seunit pada jam 12 tengah hari semalam.

“Hutangpun banyak. Justeru, walaupun pemegang saham telah meluluskan resolusi ini semalam, kerajaan wajar campur tangan.

“Janganlah ketika krisis ekonomi dan inflasi yang sedang melanda negara, tatkala rakyat disuruh bersabar dan berjimat dengan segala subsidi dipotong tetapi ada pula yang ‘mati rasa’, rakus mengaut keuntungan di tengah-tengah kesengsaraan rakyat,” katanya.

Semalam media melaporkan majoriti pemegang saham FGV meluluskan 13 resolusi yang dibentang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu, termasuk menaikkan elaun Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, AGM secara maya sepenuhnya menyaksikan semua resolusi yang dibentang untuk pertimbangan telah diluluskan oleh pemegang saham.

“Kesemua 13 resolusi yang ditetapkan pada Notis AGM ke-14 bertarikh 28 April 2022, dibentangkan pada AGM telah diluluskan,” katanya.

Menurut Notis AGM itu, elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000 atau bersamaan RM25,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh setahun iaitu bermula 24 Jun 2022 sehingga AGM akan datang.

Imbuhan Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.

Selain itu, AGM meluluskan pemberian kereta syarikat untuk kegunaan Pengerusi dengan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000 berbanding elaun kereta syarikat RM15,000 sebulan termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan sebelum ini.

Elaun perniagaan rasmi turut diberikan kepada Pengerusi Bukan Eksekutif dan Pengarah Bukan Eksekutif FGV sebanyak RM1,000 sehari bagi menghadiri mesyuarat dengan wakil kerajaan atau pihak ketiga.

Ia termasuk perunding, jurubank dan penasihat bagi pihak syarikat dengan laporan rasmi kepada Lembaga Pengarah atau Lembaga Jawatankuasa; atau lawatan rasmi ke projek dan atau rujukan tapak untuk menasihati pengurusan dan atau syarikat.

Mengikut rekod, Pengerusi Bukan Eksekutif FGV ketika ini adalah Datuk Dzulkifli Abd Wahab. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here