UKSB: Kertas siasatan tiada ‘maklumat mikro’ – Tommy Thomas

0
2
PUTRAJAYA, 11 Feb -- Peguam Negara Tommy Thomas ketika hadir ke Mahkamah Rayuan hari ini. Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memberitahu kertas siasatan membabitkan sistem Visa Luar Negara (VLN) tidak mengandungi ‘maklumat mikro’ diperlukan untuk mendakwa individu lain, selain bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, ‘maklumat mikro’ yang dimaksudkan adalah lejar rahsia Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang mengandungi nama kod dan butiran dakwaan pembayaran sogokan oleh syarikat tersebut kepada beberapa tokoh terkemuka antara 2014 hingga 2018.

Memetik laporan Malaysiakini, Thomas berkata beliau tidak terkejut dengan pendedahan dibuat di mahkamah meskipun lewat.

“Saya fikir ini menjelaskan mengapa perbicaraan sangat menakjubkan. Sama ada perbicaraan jenayah atau sivil, sentiasa ada bukti mengejutkan, itu sebabnya tiada sesiapa boleh bersedia sepenuhnya untuk sesuatu perbicaraan.

“Apabila kertas siasatan disediakan, dan apabila syor akan mendakwa tertuduh di sini (Zahid), tidak mungkin kita akan dapat maklumat mikro seperti itu yang hanya akan muncul pada tahun-tahun perbicaraan. Saya akan menjawab begitulah perbicaraan.

“Jumlah bukti, volume pembuktian dan intensiti kes menjadi lebih jelas semasa perbicaraan, bukan pada peringkat di mana anda memfailkan pernyataan tuntutan dalam kes sivil atau apabila membuat pendakwaan,” katanya dalam program bual bicara yang disiarkan di YouTube malam tadi.

Selain Ahmad Zahid, tokoh lain yang dinamakan dalam lejar UKSB Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ia juga menamakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Mengulas lanjut, Thomas berkata oleh kerana ringkasnya kertas siasatan, beliau tidak tahu penglibatan individu lain ketika membuat keputusan untuk mendakwa Ahmad Zahid.

“Secara peribadi, saya tidak tahu semua perkara ini apabila saya mengambil keputusan untuk mendakwa tertuduh tertentu.

“Kertas siasatan akan jadi kurang terperinci, hanya mengatakan (terdapat) syor prima facie untuk mendakwa. Kemudian saya akan mengkaji dokumen makro tersebut dan membuat keputusan. Kami tidak akan pergi ke butiran mikro sebegitu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here