Buli rakan: 20 pelajar MRSM Merbok mengaku salah

0
2

SERAMAI 20 bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Merbok, Sungai Petani mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan membuli seorang rakan mereka dua tahun lalu.

Semua tertuduh berusia 18 dan 19 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim dalam prosiding dilakukan secara tertutup atas permintaan keluarga, lapor Harian Metro.

Mengikut kertas pertuduhan, semua pelajar terbabit yang ketika itu berusia 16 dan 17 tahun didakwa secara bersama mendatangkan cedera terhadap rakan sekolah berusia 16 tahun di kawasan asrama antara jam 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada 27 Oktober 2020.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Nadhirah membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya, manakala tertuduh diwakili peguam Nurliyana Mohd Razali.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan akhlak diserahkan sebelum hukuman dijatuhkan.

Pada 28 Oktober 2020, mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun membuat laporan polis mendakwa dipukul sekumpulan pelajar di asrama sekolah berkenaan.

Siasatan polis mendapati kejadian berpunca akibat rasa tidak puas hati terhadap mangsa yang juga Presiden Badan Dakwah dan Rohani sebelum itu mengarahkan semua suspek mengosongkan padang selepas waktu riadah. – Malaysiapost

Kredit Foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here