AHLI Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh tidak bersetuju dengan cadangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar diwujudkan kementerian baharu jika Datuk Zuraida Kamaruddin masih mahu mengekalkan jawatan Menteri.
Wong berkata, cadangan itu cuma dilihat sebagai usaha bagi mewujudkan jawatan yang hanya akan menguntungkan ahli politik dengan menggunakan wang rakyat.
“Di mata Muhyiddin, nampaknya tak mengapa untuk jejaskan kepentingan negara dan rakyat dalam perebutan kuasa antara Umno dan Bersatu.
“Negara sedang menghadapi peningkatan harga barang yang belum pernah berlaku sebelum ini, namun Muhyiddin hanya berminat mewujudkan kementerian baharu sebagai jalan pintas menangani perbalahan kuasa dan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Semalam, Muhyiddin menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhak mengekalkan Zuraida sebagai menteri, asalkan kuota menteri untuk Bersatu dikekalkan.
Sebelum itu, kedudukan Zuraida dalam kabinet sehingga kini menjadi persoalan selepas beliau mengambil keputusan keluar dari Bersatu bulan lalu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bagaimanapun, setakat ini, Zuraida masih belum dipanggil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Termasuk tiada lagi pertemuan lagi antara Perdana Menteri dan Muhyiddin bagi menyelesaikan isu berkenaan. – Malaysiapost

