SUDAH terang lagi bersuluh, itulah yang dapat digambarkan terhadap sikap parti Bersatu yang kononnya mahu menyertai Muafakat Nasional (MN) tetapi akhirnya menubuhkan Perikatan Nasional (PN), dua tahun lepas.
Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, Bersatu tahu jika menyertai MN, parti itu tidak boleh mendominasi keputusan tanpa persetujuan anggota yang lain.
“Sebab itu mereka tubuhkan PN dan memikat PAS sekali. Malah pada suatu ketika parti komponen BN juga dipelawa tanpa sebarang perbincangan bersama Umno. Bila dah bertindak begini, macam mana nak terima masuk MN?
Justeru, Shahril menggariskan beberapa punca yang menyebabkan Umno mustahil untuk bekerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Malah katanya, keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 adalah jelas untuk tidak akan ada sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.
“Datuk Wan Saiful, Ketua Penerangan Bersatu mempersoal status penyertaan Bersatu ke dalam MN selepas dijemput dua tahun yang lalu. Saya beri jawapan terus status dan punca Bersatu tidak diterima masuk.
“Pertama, Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan Umno. Ini jelas apabila hampir separuh dari Ahli Parlimen Bersatu serta hampir keseluruhan pimpinan mereka di Sabah pasca PRU14 adalah bekas wakil rakyat Umno yang dianggap sebagai pengkhianat parti oleh akar umbi Umno. Ini adalah asas jelas mengapa Umno tolak Bersatu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, Shahril menegaskan, Bersatu tidak jujur dalam persahabatan, buktinua berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dua tahun lalu.
“Kedua, Bersatu tidak jujur dalam bekerjasama. Ini terbukti semasa PRN Sabah apabila Bersatu meletakkan calon di 17 DUN untuk melawan Calon BN.
“Tambahan lagi, mereka pecahkan undi dengan meletakkan calon bebas yang menyokong kerajaan YAB Datuk Seri Hajiji selepas tamatnya PRN Sabah.
“Ini selepas Umno melepaskan kerusi tradisi seperti Sulaman, Kawang, Membakut dan lain-lain yang merupakan kerusi Umno tetapi dilepaskan kepada Bersatu. Umno juga tidak meletakkan calon atau calon bebas,” katanya.
Shahril menambah, tindakan Bersatu menubuhkan PN telah menunjukkan ‘warna sebenar’ parti itu yang mahu menggantikan BN sebagai blok parti politik yang besar.
“Ketiga, Bersatu mendaftarkan Perikatan Nasional tanpa sebarang perbincangan bersama Umno. Sekali lagi, Bersatu yang ditubuhkan untuk mengganti Umno menubuhkan PN pula dengan tujuan yang sama, untuk mengganti Barisan Nasional,” katanya. -Malaysiapost

