Zaid: Kenapa tak heret Jho Low, Goldman Sachs?

0
2

DATUK Zaid Ibrahim membangkit persoalan mengenai wang AS$61 juta dan £9.46 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak seperti didakwa seorang pegawai Ambank di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, meskipun yang dibuktikan di mahkamah adalah aliran wang masuk ke akaun bank peribadi Najib, namun pihak pendakwa raya tidak berusaha membuktikan bagaimana punca ia berlaku.

“Dalam kes Najib ni, pasal apa kamu (pendakwa) tak cari Jho Lo? Carilah, usahalah bawa dia ke mahkamah. Jho Lo yang boleh menerangkan bagaimana Najib dan dia dengan 1MDB. Baru jelas. Mengapa kamu tak tuduh Goldman Sachs tipu kita?

“Najib dah cerita dia ingat duit dalam akaun dia tu dari Saudi, Raja Abdullah. Dia pun juga cerita dalam Kabinet.

“Kalau dia nak tipu rakyat Malaysia, takkan dia nak beritahu dia terima duit dari Raja Abdullah. Sediakanlah rancangan kamu nak pilihan raya ni macam mana. Buat apa cerita kalau dia nak curi, duduk diam-diam lah,” katanya dalam klip video di Facebook miliknya, hari ini

Zaid juga menegaskan, Mahkamah Tinggi tidak patut mendakwa bekas Presiden Umno itu hanya mereka-reka cerita tanpa mendapatkan bukti untuk mengesahkannya

“Memanglah duit masuk akaun, dan saya tak kata tiada duit dalam akaunnya. Kalau kamu kata itu rekaan dia, kamu buktikanlah dia pakat dengan Jho Lo dengan Goldman Sachs.

“Kita kena ingat akaun Najib tu, Najib bagi kuasa kepada pegawai dia yang menguruskannya. Pegawai dia pun terima duit itu dari Goldman Sachs, pegawai dia pun dah lari duduk Jakarta.

“Dia pun kata duit masuk Bank Negara kata ok, kalau ok tak haram lah. Tapi kamu tuduh dia ni mastermind, perancang, konspirasi Najib dengan kawan-kawan. Tapi kamu tak tuduh dia mcm itu, kamu tuduh dia seolah-olah dia lah perancang.

“Tapi kamu tak dapat buktikan konspirasi tersebut, kamu tak dapat buktikan dia pakat dengan Jho Lo, kamu tak dapat buktikan apa-apa,” katanya.

Menurut Zaid, pendakwa raya hanya membuktikan jumlah duit yang masuk ke dalam akaun bank Najib kerana ia berkaitan dengan pengubahan wang haram.

“Dalam pengubahan wang haram, bila kita dituduh di bawahnya, pendakwa hanya perlu membuktikan duit masuk akaun. Kamu perlu terangkan duit itu bersih sumbernya. Tapi penjelasan Najib mahkamah tak terima.

“Kemudian kamu kata duit tu daripada Jho Lo dan akaun persisiran, jadi kamu kena buktikanlah. Kalau Jho Lo yang curi duit tu dan masukkan ke akaun tu, buktikan yang dia ada pakat.

“Kamu boleh persoalkan kenapa Jho Lo buat begitu, supaya dia boleh perangkap Najib dan orang tak cari dia,” katanya.

Semalam, Pengurus Bahagian Unit SWIFT di Ambank (M) Berhad, Wedani Senen, 48, berkata, kesemua transaksi melibatkan akaun bekas Perdana Menteri itu adalah di antara Mac 2013 dan Disember 2014 dengan nombor akaun 2112022009694 menggunakan kod nama AmPrivate Banking-MR dan 2112022011880 kod nama AmPrivate Banking-1MY.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, terdapat pemindahan wang berjumlah AS$61 juta ke akaun Najib daripada Tanore Finance Corporation. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here