‘Anak kami ditekan sokong Muhyiddin’ – Ibu, bapa Syed Saddiq

0
3

BAPA dan ibu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan bahawa anak mereka ditekan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.

Mereka berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Syed Saddiq berhubung dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram lebih RM1 juta dana daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), hari ini.

Bapa Ahli Parlimen Muar itu, Syed Abdul Rahman Alsagoff memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai tekanan yang didakwa diterima anaknya, lapor MalaysiaKini.

“Sejujurnya saya katakan bahawa sokongan kepada Muhyiddin ketika itu adalah tipis (pada 2020) dan sudah pasti anak saya akan dianiaya kerana politiknya tidak sehaluan dengan Tan Sri (Muhyiddin).

“Saya tahu anak saya tegas dan berintegriti tinggi dan saya menasihatkan dia untuk terus maju dan mengekalkan pendirian yang kukuh dan jujur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Gobind Singh Deo.

Apabila Gobind bertanya sama ada Syed Saddiq disiasat untuk memaksanya menyokong Muhyiddin, saksi itu bersetuju.

Sementara, ibu tertuduh, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz pula mendakwa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoalnya sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap anaknya, telah ‘menasihatkan secara berseloroh’ supaya menasihatkan anaknya supaya menyokong kerajaan PN ketika itu pada 2020.

“Sebagai seorang ibu, hati saya tersentap apabila pegawai (SPRM) memberitahu saya adalah lebih baik jika saya menasihati anak saya supaya mengikut sahaja kerajaan yang ada sekarang supaya saya dan suami tidak disiasat lagi.

“Sebagai ibu, saya sayangkan anak saya dan tahu pengorbanannya, ia bukan mudah, saya anggap anak saya sudah menjadi mangsa politik,” katanya.

Menjawab soalan Gobind sama ada Syed Saddiq ditekan untuk menyokong kerajaan ketika itu di bawah Muhyiddin, dia juga turut bersetuju. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here