SKRIN utama google hari ini memaparkan ilustrasi lakaran coretan atau doodle, seorang ahli sains sedang berjalan sambil diikuti haiwan seperti tapir, ular dan kura-kura.
Doodle itu menggambarkan zoologist Malaysia iaitu Dr Lim Boo Liat.
“Sekiranya anda membuka Google pada hari ini, anda akan lihat ilustrasi ini. Ini adalah Dr. Lim Boo Liat, seorang zoologis ternama dan merupakan pengasas kepada Zoo Negara,” kongsi Facebook Ini Sains Beb.
Menurutnya, sumbangan Dr Boo Liat amat besar dalam bidang berkenaan, yang mana beberapa spesis telah dinamakan sempena namanya.
Antaranya seperti ular Oligodon booliati, protozoa Sarcocytis booliati, katak Kalophrynus limbooliati, pinjal Medwayellia limi, chigger Babiangia booliati, dan cacing parasit Helimonella limbooliati, Plasmodium booliati, dan Brienlia booliati.
Kata hantaran itu, Dr Boo Liat Juga telah menerbitkan pelbagai buku dan dokumen tentang mamalia dan haiwan-haiwan di Malaysia.
“Beliau amat dihormati atas dedikasinya dalam membantu dan menyokong biologis dan pemulihara terutamanya di awal kerjaya mereka, menjadi mentor dan memastikan saintis muda mendapat peluang untuk menerbitkan kajian dna penemuan mereka.
“Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2020 pada umur 93 tahun, namun legasinya sangat tidak ternilai dan menjadi ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh generasi seterusnya,” katanya.
Sementara itu, menerusi laman web Google, memaklumkan, lukisan doodle itu bagi meraikan serta memberi penghargaan kepada Dr Boo Liat. – Malaysiapost

