MH370: ‘Perlu ada bukti baharu sebelum teruskan operasi mencari’ – Ka Siong

0
2

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siongmenegaskan perlu ada bukti baharu yang boleh dipercayai sebelum meneruskan operasi mencari bangkai pesawat MH370 yang hilang, lapan tahun lalu.

Ka Siong berkata, beliau bagaimanapun telah mengarahkan pegawai di kementerian itu untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Ocean Infinity (OI) sebelum berunding dengan Australia dan China untuk langkah seterusnya.

“Pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif OI, Oliver Plunkett dan wakil waris mangsa MH370 di pejabat saya di Putrajaya hari ini (semalam).

“Plunkett berkongsi mengenai perkembangan terkini OI dari segi teknologi, tenaga kerja dan keupayaan mereka berbanding lima tahun lalu

“Saya turut menekankan bahawa perlu ada bukti baharu yang boleh dipercayai sebelum kita meneruskan operasi pencarian yang lain,” katanya menerusi Facebook.

Ka Siong berkata, dalam pertemuan itu beliau turut berkongsi kesediaan OI untuk menyambung semula operasi pencarian MH370 berdasarkan perjanjian ‘no cure, no fee’, di mana pembayaran hanya dibuat jika serpihan pesawat tersebut berjaya ditemui.

Pada 8 Mac 2014, pesawat yang membawa seramai 227 penumpang dan 12 kru itu hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.

Sejak itu beberapa negara melancarkan operasi pencarian berskala besar di selatan Lautan Hindi, namun tidak berhasil menemukan sebarang pesawat mahupun serpihannya.

Pada Oktober 2017, kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan OI untuk membuat pencarian di bawah permukaan air selanjutnya di kawasan itu, atas dasar tiada bayaran jika serpihan tidak ditemui.

Pencarian yang bermula pada Januari 2018, berakhir pada Jun 2018 tanpa hasil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here