PKR tidak akan kerjasama dengan Azmin

0
2

PKR tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, selepas bekas Timbalan Presiden itu dikatakan menemui wakil PKR minggu lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata Mohamed Azmin dianggap ahli, penyokong parti dan orang ramai sebagai salah satu punca utama berlakunya pengkhianatan Langkah Sheraton.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam tadi yang antara lain membincangkan pemilihan parti dan persiapan untuk kongres tahunannya.

“MPP juga memutuskan bahawa PKR tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Azmin Ali, yang dianggap oleh anggota, penyokong parti serta orang ramai sebagai salah satu punca utama berlakunya pengkhianatan Langkah Sheraton,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, timbul spekulasi Mohamed Azmin akan kembali ke pangkuan PKR selepas didakwa berjumpa dengan dua wakil parti itu di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Rabu lalu,

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata.

Menurut laporan media yang memetik sumber, pertemuan antara Mohamed Azmin dan wakil PKR itu didakwa membabitkan dakwaan Ahli Parlimen daripada parti itu yang setia bersama Mohamed Azmin.

Perkara itu timbul susulan penafian Mohamed Azmin berhubung khabar angin beliau akan mengikut jejak Datuk Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan, MPP juga memutuskan supaya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengumumkan secara rasmi saf kepimpinan yang baharu di peringkat Cabang dan pimpinan utama dalam masa terdekat, setelah selesai proses aduan serta audit dilakukan.

Katanya, saf kepimpinan baharu itu perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh-musuh politik PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“MPP memutuskan bahawa Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR akan diteruskan pada 15 Julai 2022, bertempat di IDEAL Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Kongres Nasional juga akan diteruskan pada 16 dan 17 Julai 2022.

“Kongres kali ini akan menumpukan kepada kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU15 dan pembubaran Parlimen yang boleh berlaku pada bila-bila masa selepas 31 Julai ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here