DBKL tak gantung lesen arak, cuma beku permohonan baharu

0
3

Nurul Huda Abhar

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menggantung pengeluaran lesen arak, sebaliknya membeku pembaharuan lesen serta permohonan baharu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata permohonan lesen baharu hanya akan dibuka apabila garis panduan yang lebih kemas dan teratur disediakan.

“Peristiwa melibatkan pemandu mabuk dikaitkan dengan soal pelesenan, kaedah pengeluaran lesen, waktu dan kepada siapa arak dijual.

“Susulan itu timbul cadangan daripada kerajaan untuk menyemak kembali soal perundangan. DBKL berpendapat wajar kita meneliti apakah kaedah yang boleh dilakukan untuk kepentingan awam,” katanya menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat hari ini.

Annuar berkata lembaga perlesenan yang berkaitan dengan soal pengeluaran lesen arak telah dilantik dan dijangka bersidang pada Ogos depan.

DBKL, katanya, turut mengadakan sesi perbincangan pada bulan sama dalam usaha memastikan garis panduan tersebut disiapkan.

“Lesen yang dikeluarkan kerajaan sebanyak 2,096 tamat pada September. Setakat ini yang memohon untuk memperbaharui ada lebih 200 dan permohonan baharu hanya 69.

“Yang penting apabila lesen baharu dikeluarkan, kita pastikan peraturannya lebih teratur.

“Kini dapat lihat di sesetengah kedai runcit banyak menjual arak dengan mudah, arak boleh beli pada masa yang tidak terhad, jadi saya harap ini boleh dikaji semula,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan peraturan lesen pengeluaran arak diwujudkan bagi mengawal kepentingan awam dan keharmonian bersama, malah telah dipraktikkan secara global di negara-negara lain.