Bot nelayan Vietnam dimusnahkan

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu melupuskan secara hancur musnah ke atas sebuah bot nelayan Vietnam, yang dilucut hak keran menceroboh perairan negara, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kaedah hancur musnah dilaksanakan berikutan bot itu mengalami kerosakan teruk dan tidak sesuai untuk dijadikan tukun tiruan.

Menurutnya, tindakan pelupusan diambil ke atas bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Bot yang dihancur musnah kali ini telah ditahan pada tahun lepas kerana menceroboh perairan dan mencandat sotong tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, bot berkenaan bersama enam kru dilaporkan ditahan sekitar kedudukan 112 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 3 April tahun lalu.

Semua nelayan asing terbabit dikenakan denda berjumlah RM2.1 juta, namun masing-masing memilih untuk dipenjarakan antara lima hingga tujuh bulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here