11 ditahan terbabit kumpulan jenayah terancang

0
2

Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dibantu oleh Bahagian Jenayah Terancang (D14), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman telah menjalankan satu operasi khas di bawah Op Cantas Tanjung (III) pada 24 Mei 2022.

SERAMAI 11 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah ke negara jiran serta memiliki senjata api berjaya ditahan dalam Op Cantas Tanjung (III) yang dijalankan di sekitar Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dengan dibantu oleh Bahagian Jenayah Terancang (D14), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Menurutnya, tangkapan adalah membabitkan sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 29 tahun hingga 61 tahun.

“Kumpulan ini dipercayai menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan dadah ke negara jiran serta memiliki senjata api dan telah bergiat aktif sejak tahun 2021.

“Kesemua tangkapan telah ditahan reman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula 24 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, turut sama terlibat dalam kumpulan ini adalah empat lelaki yang ditahan reman di Penjara Pulau Pinang dan Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Pada 20 Jun lalu, kesemua mereka iaitu seramai 12 lelaki dan dua wanita telah dituduh mengikut Seksyen130V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang yang disiasat di bawah SOSMA.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi daripada 20 tahun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here