‘Saya yakin saya tidak bersalah, tunggu cerita sebenar’ – Sharnaaz Ahmad

0
2

PELAKON Sharnaaz Ahmad, 36, yang ditahan dan direman tiga hari kerana disyaki memukul seorang penduduk di sebuah kondominium di Sentul,Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata Sharnaaz dibebaskan tengah hari tadi selepas polis selesai menjalankan siasatan terhadapnya.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas siasatan dan proses merekodkan keterangan daripadanya selesai, hari ini.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan iaitu ugutan dan mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, Sharnaaz ketika ditemui media berkata, dia tidak bodoh untuk melakukan perbuatan seperti didakwa dan berharap semua pihak untuk bersabar dan menunggu cerita sebenar.

“Saya tidak bodoh untuk melakukan sesuatu yang begitu. Kepada sesiapa yang membuat spekulasi mengatakan saya panas baran, tunggu cerita sebenarnya.

“Apa yang saya boleh katakan di sini, tiada unsur panas baran yang berlaku. Saya hanya buat apa yang saya rasa perlu. Kenyataan yang keluar hanya dari sebelah sana. Belum lagi dari pihak saya.

“Jangan hakimi terlalu awal. Tak tahu lagi bila pendakwaan tetapi saya sudah beri keterangan sebaik mungkin kepada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata, dia juga akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar dalam waktu terdekat.

Katanya, dia juga akan membuktikan kepada mahkamah bahawa dirinya tidak bersalah dalam kes yang berlaku.

“Selama tiga hari ini lebih kepada membantu siasatan. Tiada yang teruk, malah banyak pengajaran yang saya belajar. Jangan risau saya okay dan pihak polis juga memberikan layanan yang baik.

“Saya yakin saya tidak bersalah. Insya- Allah saya akan buktikan kepada semua ada kebaikan yang saya buat dalam kes ini yang orang tak tahu dan tidak diceritakan. Saya akan ceritakan nanti di mahkamah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here