EMPAT individu termasuk dua kanak-kanak cedera selepas dapur gas mudah alih digunakan mereka untuk memasak steamboat meletup di sebuah restoran di Alam Mesra, Kota Kinabalu, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, Roberto Antoni, 28 dan isterinya, Wujon Maria Mae serta dua anak mereka cedera akibat terkena air panas dan letupan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 malam.
Katanya, sepasukan 13 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang wanita dilaporkan cedera di tangan manakala mangsa lelaki pula melecur di tangan dan luka di kaki.
“Kedua-dua mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
“Operasi terkawal pada jam 9.35 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya enam minit kemudian,” katanya. – Malaysiapost

