POLIS Sarawak mengesahkan menerima laporan berkaitan kes buli jalanan, yang tular di media sosial semalam, memaparkan seorang pemandu lelaki memberhentikan kereta dan menghalang kenderaan individu lain.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata tular video berdurasi 30 saat yang dimuat naik pemilik akaun facebook Sandy Tan, memaparkan kejadian berkenaan.
“Kejadian itu dirakam mangsa sendiri kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Sungai Maong, Batu Kawa.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506/509 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang giat mengesan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil menyalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di talian 082-862233. – Malaysiapost

