
Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan menerima sebanyak RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara bulan Jun dan Ogos, empat tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan keterangan tersebut adalah tidak benar dan memberikan gambaran dirinya menerima wang sogokan.
“Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat UKSB yang terlibat dalam kes sogokan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018. Ini memberikan gambaran saya juga menerima sogokan.
“Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, pada ketika itu beliau menjalani menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, tugasan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu.
“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.
“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata tidak pernah menerima secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, iaitu saksi dari UKSB, pengarah atau pemegang saham syarikat itu.
Dalam masa sama, Muhyiddin menegaskan tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tohmahan itu.
Katanya, beliau bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut.
“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri itu turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.
Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu. – Malaysiapost
