147 undang-undang lapuk akan dikaji – PM

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang yang sudah lapuk, sama ada dipinda atau dimansuhkan.

Beliau berkata, ia adalah usaha kerajaan dalam melaksanakan transformasi undang-undang secara signifikan, yang mana penambahbaikannya akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun dan dalam konteks itu, undang-undang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, malah agak terkebelakang dengan perubahan semasa.

“Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 contohnya, hanya membabitkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor; Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Prof Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang UM, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah pun melaksanakan beberapa langkah proaktif dalam memperkasa undang-undang di Malaysia, antaranya pemansuhan hukuman mati mandatori, Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No 3) 2022 dan RUU Dana Sumbangan Politik.

Mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, ramai yang keliru mengenainya seolah-olah hukuman mati sudah dihapuskan.

“Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah itu dijatuhkan hukuman mati atau hukuman pilihan yang lain,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang dijangka dibentang bulan depan, penting untuk menjamin kestabilan dan integriti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana tindakan lompat parti sebelum ini terbukti merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

“Pada masa sama, usaha memantapkan integriti politik turut merangkumi aspek lain, termasuk pengawal seliaan dana sumbangan politik.

“Pengawal seliaan ini boleh meningkatkan ketelusan sumbangan politik di negara kita dan dapat mengurangkan risiko rasuah serta apa-apa penyalahgunaan kuasa yang berkaitan,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan kebebasan badan kehakiman dan legislatif akan terus dipelihara dan bersedia membantu badan ini untuk terus melakukan transformasi, demi memastikan pengasingan kuasa dan sistem perundangan terus dimartabatkan.

“Badan Legislatif atau Parlimen, Eksekutif atau kerajaan dan Kehakiman mempunyai peranan masing-masing dan kita perlu menghormati setiap badan ini.

“Setiap dasar yang digubal kerajaan berpaksikan roh dan semangat kebersamaan dengan mengambil kira kepentingan setiap agama, kaum dan seluruh Keluarga Malaysia.

“Begitu juga undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat, ia dibahas dengan roh dan semangat yang sama oleh ahli Dewan.

“Justeru, badan kehakiman perlu mengambil kira roh dan semangat yang sama ketika membuat intepretasi kepada undang-undang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan badan Parlimen dapat berfungsi dengan sempurna, beliau berkata, kerajaan akan membantu institusi itu untuk melakukan transformasi, antaranya membabitkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 bagi memberi kebebasan kepada Parlimen.

“Sebagai contoh, kerajaan sudah pun melakukan perubahan dalam Parlimen apabila menubuhkan 16 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, berbanding hanya lima sebelum ini.

“Kita juga bersetuju Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1993 untuk mengurus pentadbiran dan kewangan Parlimen akan diperkenalkan semula bagi memperkasakan peranan Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here