ANAK pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban iaitu Irdina Hakim Jasman telah membuat klip video yang mengejutkan warga maya di laman TikTok, baru-baru ini.
Menerusi klip video berdurasi 11 saat itu, Irdina memaklumkan bahawa kehidupan keluarganya tunggang langgang selepas kematian ibunya sejak tiga tahun lalu.
Dalam klip video tersebut juga, anak kedua Allahyarham itu menceritakan pengkhianatan ayah tiri yang membuang mereka tiga beradik, malah abang sulungnya juga dimasukkan ke penjara.
Gadis itu juga menceritakan dia turut dihalau dari rumah milik ibu mereka selain adiknya tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya.
Sedar keadaan tidak sama seperti waktu Allahyarham ibu masih ada, gadis itu mendakwa mengetahui bapa tiri sebenarnya menjalinkan hubungan dengan ‘skandal’ yang kini merupakan isteri barunya ketika arwah masih hidup.
Rata-rata netizen menzahirkan perasaan terkejut dan simpati nasib yang menimpa tiga beradik itu, selain menyokong agar kes kematian Allahyarham disiasat.
Semalam, media melaporkan, keluarga Allahyarham Faziani membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham selepas tiga tahun kematian pengasas produk berkenaan.
Ahli keluarga Allahyarham ketika dihubungi mengesahkan membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut terhadap kematian Allahyarham yang disyaki ada unsur lain.
“Kami mengesyaki kematian Allahyarham bukan disebabkan kemalangan semata-mata sebaliknya ada unsur lain yang menyebabkan kami tampil membuat laporan polis.
“Susulan laporan dibuat, saya juga sudah memberi keterangan kepada pihak polis hari ini dan kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan,” katanya. – Malaysiapost

