PENGUMUMAN dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai tambang percuma selama sebulan untuk penumpang RapidKL dan KTM, hari ini adalah satu inisiatif yang tidak menyelesaikan kemelut penumpang pengangkutan awam di Kuala Lumpur, kata Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurutnya, jumlah subsidi sebanyak RM155 juta yang diberikan itu tidak berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi penumpang pengangkutan awam yang semakin parah, malah ia tidak menjawab aduan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan itu.
Beliau berkata, kerajaan harus menjawab persoalan yang masih lagi berbangkit walaupun subsidi berkenaan diluluskan.
“Pertama, adakah subsidi RM155 juta untuk tambang percuma ini dapat mengurangkan masalah kesesakan penumpang disebabkan kekerapan frekuensi jadual yang lama dan jumlah koc kereta api yang rendah?
“Kedua, adakah subsidi RM155 juta ini dapat meningkatkan kualiti kemudahan awam di stesen-stesen kereta api yang bermasalah, tidak mesra orang kurang upaya (OKU) dan rosak?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Saddiq berkata, walaupun beliau menerima baik usaha untuk memberikan Pengangkutan awam secara percuma, kerajaan harus realistik dan berhadapan dengan masalah sedia ada yang sangat membimbangkan.
Beliau turut mencadangkan daripada memberikan subsidi tambang percuma, kerajaan dan Perdana Menteri harus pertimbang tiga langkah lebih pragmatic untuk membelanjakan peruntukan RM155 juta itu.
“Menambah jumlah kereta api dan koc kepada penumpang, menambah jumlah bas awam untuk penumpang dan naik taraf kemudahan setiap Stesen.
“Tiga cadangan ini pasti dapat membantu lebih ramai penumpang untuk jangka masa yang panjang.
“Subsidi RM155 juta untuk tambang percuma pasti tidak dapat menyelesaikan masalah dasar yang dihadapi penumpang pengangkutan awam,” katanya.
Syed Saddiq berkata, beliau juga bersedia bertemu dengan Perdana Menteri dan bawakan isu-isu berbangkit serta masalah pengangkutan awam negara. – Malaysiapost

