MALAYSIA akan menerokai peluang kerjasama perkongsian teknologi dengan syarikat luar negara, Turkiye, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya bersama Duta Besar Turkiye, Merve Safa Kavakcı, hari ini.
“Saya menerima kunjungan Duta Besar Turkiye, Merve Safa Kavakcı bersama-sama wakil dua syarikat gergasi industri pertahanan negara itu.
“Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Servet Akkaynak, dan Turkish Aerospace Industry (TAI), diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Temel Kotil telah mempelawa saya untuk melawat kilang mereka di Turkiye,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, syarikat berkenaan berminat menerokai peluang perkongsian teknologi khususnya dalam bidang aset pertahanan dan aeroangkasa.
“Insya-Allah, kita akan memperkuatkan lagi kerjasama Malaysia – Turkiye,” katanya. – Malaysiapost

