Hanya 10,681 tidak duduki SPM 2021

0
2
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

LEMBAGA Pemeriksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan jumlah sebenar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan adalah 10,681 orang.

Dalam satu kenyataan, LP menjelaskan jumlah itu merangkumi seramai 9,037 atau 2.30 peratus terdiri daripada calon sekolah KPM, sekolah agensi kerajaan, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta dan sekolah menengah agama rakyat.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 1,644 orang lagi atau 0.42 peratus calon yang tidak menduduki SPM 2021 adalah calon persendirian.

“Merujuk kepada laporan media berkaitan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2021, LP ingin memaklumkan bahawa jumlah calon berdaftar adalah seramai 407,097 orang seperti pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021.

“Bagi tujuan analisis keputusan peperiksaan SPM 2021, hanya 392,837 orang calon berdaftar yang diambil kira. Calon ini adalah mereka yang mendaftar kali pertama dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

“Daripada jumlah itu, seramai 382,156 orang atau 97.28 peratus calon sekolah dan calon persendirian telah hadir menduduki peperiksaan,” menurut kenyataan itu.

LP berharap penjelasan yang dibuat dapat memberi gambaran sebenar berkenaan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2021 pada Mac lalu.

Terdahulu Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dalam sidang media mengenai keputusan SPM 2021 hari ini berkata terdapat 24,941 calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 calon yang berdaftar.

Susulan itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, KPM akan menganalisis punca mengapa calon berkenaan tidak mengambil peperiksaan itu Mac lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here