Muat naik kandungan jelik, tindakan tegas boleh diambil – MCMC

0
3

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius tindakan beberapa pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal memuat naik kandungan yang boleh disifatkan sebagai sumbang dan jelik di laman aplikasi Instagram dan Tik Tok masing-masing baru-baru ini.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, susulan aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung tindakan individu berkenaan, MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan pemeriksaan bagi tujuan siasatan terhadap ketiga-tiga individu terbabit di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, semalam.

Menurut MCMC, siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

“Sehubungan itu, orang ramai khususnya selebriti yang mempunyai pengaruh di dalam masyarakat seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan usahawan sensasi, Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM sekali lagi mendapat kecaman netizen selepas memuat naik aksi menepuk punggung beberapa individu popular di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Kak KM menunjukkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida, pelakon, Ifa Raziah dan penyanyi Cheta Pot Pet memaparkan bahagian belakang masing-masing, kemudian pengasas produk itu menepuk punggung kononnya bagi mempromosi satu program yang akan diadakan 24 Jun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here