PRU-15 sesuai diadakan bila tamat penggal – Tun M

0
2

TARIKH paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah sebaik sahaja tempoh penggal pentadbiran ini berakhir, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu mendakwa ada pihak dalam kerajaan sengaja mendesak Pilihan Raya Umum (PRU) disegerakan dan cuba mengambil peluang di saat parti pembangkang dilihat tidak bersedia ketika ini.

“Tarikh sesuai ialah kalau kita ikut jadual pilihan raya. Itu tarikh yang sesuai.

“Tapi, saya mendapati kerajaan nak ambil peluang parti-parti lawan tak sedia supaya adakan PRU lebih awal supaya mereka dapat kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pejuang Muda dengan Silver Gold Collector Group di Putrajaya, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika diminta mengulas tarikh sesuai untuk mengadakan PRU-15, ketika Umno menggesa agar ia diadakan awal.

Selepas meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Umno mendesak agar momentum kemenangan itu dapat diteruskan pada PRU-15.

Sehubungan itu, Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas bulan lalu memutuskan agar PRU-15 disegerakan.

Bagaimanapun, Pas dan Bersatu serta parti pembangkang berpendapat bahawa PRU awal akan menjejaskan usaha kerajaan pemulihan negara daripada wabak Covid-19.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata partinya masih tidak memilih calon perdana menteri bagi pihak pembangkang.

“Kami akan lihat calon itu yang mampu memberi kemenangan kepada pembangkang.

“Mereka bukan semestinya datang daripada Pejuang sahaja, tetapi banyak organisasi lain akan bersama Pejuang untuk bertanding menentang gabungan Barisan Nasional (BN),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here