DATUK Seri Najib Razak boleh menyelamatkan negara dari dimalukan lagi di seluruh dunia dengan menolak sebarang idea kemunculan semula politiknya sebagai perdana menteri sekali lagi, demikian kata Lim Kit Siang.
Veteran DAP itu berkata, ia perkara yang wajar dilakukan susulan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini semasa istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam yang mahu amalan rasuah dicela kerana ia bagai barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.
“Perkara terbaik, bermaruah, dan paling patriotik yang boleh dilakukan Najib adalah dengan menolak sebarang idea kedatangan semula politiknya sebagai perdana menteri bagi menyelamatkan Malaysia dari dimalukan lagi di seluruh dunia
“Adakah Najib akan berbuat demikian dan adakah Barisan Nasional terdiri daripada Umno, MCA, dan MIC akan mengisytihar yang mereka tidak akan sama sekali menamakan Najib sebagai perdana menteri Malaysia di masa hadapan?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.
Najib yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam tidak pernah mengumumkan secara terbuka beliau bercadang untuk tidak kembali menjawat jawatan itu sekiranya BN menang pada PRU15.
Bagaimanapun, pada Perhimpunan Agung Umno Khas bulan lalu telah bersetuju Naib Presiden yang juga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi ‘poster boy’ BN pada PRU15 nanti. – Malaysiapost

