SUSULAN kejayaan dijelmakan Kim Pan Gon, menjadi tanya tanya kini adakah skuad bawah 23 (B23) negara akan turut mengamalkan dasar ‘pandang ke Korea Selatan.
Skuad B23 yang dikemudi Brad Maloney terbukti gagal mencipta kejayaan diharapkan peminat meskipun dilimpahi dengan pemain berbakat.
Pengendali berasal dari Jerman itu gagal mencipta ramuan ampuh yang boleh dijadikan DNA dalam corak permainan skuad B23 negara.
Skuad muda negara gagal meraih pingat pada Sukan SEA 2021 dan hanya menamatkan saingan AFC B-23 tahun di peringkat kumpulan tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan.
Kini, timbul cadangan daripada peminat bola sepak tanah air agar skuad B23 mengikut langkah skuad senior yang semakin mempamer peningkatan prestasi sejak diasuh gaya permainan Korea Selatan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan bakal merombak pasukan itu selepas ini.
Menguatkan lagi desas desus itu, Ahli Eksekutif FAM, Christopher Raj yang memetik kenyataan presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi akaun Twitter baru-baru ini, membayangkan akan ada rombakan besar-besaran dalam skuad B23 kebangsaan.
Susulan itu, masa depan Maloney sebagai ketua jurulatih skuad B23 kian samar dan FAM dijangka memutuskannya nasibnya setelah menerima laporan lengkap daripada Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dalam masa terdekat.
Pada sama sama, magis dijelmakan Pan Gon yang menamatkan penantian 42 tahun Malaysia beraksi di pentas Piala Asia seakan memberi petunjuk kepada FAM untuk membentuk skuad pelapis mengikut acuan Korea Selatan.
Tiada salahnya, FAM menggunakan jurulatih dari Korea Selatan untuk skuad B23 kebangsaan kerana ia akan menjadi kesinambungan kepada skuad senior. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram FAM

