EMPAT mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung di lokasi berbeza sekitar perairan Johor Timur, Kota Tinggi dalam tempoh 48 jam sejak kelmarin.
Penemuan mayat itu dilaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menerusi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata pihaknya menerima maklumat penemuan dua mayat terapung oleh nelayan tempatan di perairan Pulau Lima, masing-masing jam 12.50 dan 1.10 tengah hari, kelmarin.
Katanya, dua mayat itu dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh jam 4.30 petang kelmarin.
“Pada jam 10.30 pagi semalam pemancing menemui satu mayat terapung di kedudukan 8.6 batu nautika timur laut Tanjung Balau, sebelum aset digerakkan ke lokasi.
“Seterusnya, jam 12.40 tengah hari satu lagi mayat ditemui oleh nelayan tempatan di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar.
“Kemungkinan ada berlaku bot karam, namun sehingga hari ini MRSC Johor Bahru atau mana-mana balai polis belum menerima sebarang aduan orang hilang di laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Najib berkata, pihak MRSC juga sudah menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia.
Namun, katanya, pihak terbabit memaklumkan tiada orang hilang dilaporkan setakat ini namun percaya semua mayat yang ditemui itu adalah warga asing.
“Empat mayat itu sudah diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401 yang beroperasi secara 24 jam. – Malaysiapost

