Akta Profesion Guaman Syarie dikuatkuasa 21 Jun ini

0
2

AKTA Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) yang akan dikuatkuasa pada 21 Jun ini diharap dapat memartabatkan institusi perundangan syariah dan memperkasa profesion guaman syarie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata kewujudan Akta 814 juga diharapkan dapat meninggikan lagi kedudukan Mahkamah Syariah serta mengarus perdanakan undang-undang Syariah setara dengan undang-undang sivil.

Beliau berkata, tarikh penguatkuasaan akta itu selaras dengan Penetapan Tarikh Akta 814 dan Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No 2) 2019 (Akta A1606).

Katanya, kedua-dua penetapan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 Mei 2022 dan ditandatangani oleh Setiausaha Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.

Idris berkata, walaupun akta berkenaan digubal bagi pemakaian di Wilayah-Wilayah Persekutuan, menjadi hasrat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya ia dijadikan undang-undang model untuk diterima pakai oleh negeri-negeri lain.

Katanya, ia bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman undang-undang berkaitan dengan profesion guaman syarie di Malaysia.

“Akta 814 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019. Akta 814 kemudiannya telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 November 2019 dan telah disiarkan dalam Warta pada 19 November 2019.

“Penguatkuasaan Akta 814 telah ditangguhkan bagi memberi peluang supaya 10 kaedah-kaedah yang perlu digubal di bawah Akta 814 dapat disiapkan supaya pelaksanaan Akta 814 dapat berjalan dengan lancar dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penggubalan kaedah-kaedah tersebut telah diusahakan oleh Jakim dengan usaha sama daripada pelbagai pihak iaitu Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),Jawatankuasa Peguam Syarie (JKPS) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council).

“Selaras dengan penguatkuasaan Akta 814, Badan Peguam Syarie (BPS) Wilayah-Wilayah Persekutuan ditubuhkan di bawah subseksyen 42(1) Akta 814 yang antara lainnya bertujuan untuk menggalakkan dan menjaga kepentingan profesion guaman syarie.

“Matlamat penubuhan BPS ini adalah sama dengan penubuhan Bar Malaysia yang mengawal selia profesion guaman di mahkamah sivil,” katanya.

Beliau berkata, anggota BPS akan bermesyuarat untuk memilih tiga belas anggota Majlis Peguam Syarie yang disebut dalam perenggan 48(2)(b) Akta 814 dalam kalangan anggotanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here