PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon akan meninggalkan parti mengikuti jejak Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin.
Beliau berkata, desas-desus mengenai perkara itu adalah tidak berasas, malah menegaskan hubungannya dengan Azmin yang juga Menteri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri sangat baik dan sering berbincang mengenai masa depan parti.
“Kenapa tak kata semua keluar (Bersatu). Lebih besar berita. Setahu saya tidak betul. Saya rapat dengan Azmin, dia adalah Menteri yang datang daripada Bersatu dan kita kerap berbincang..bukan soal masuk keluar (parti)..soal masa depan.
“Malah Rashid saya sambut hari raya hari tu bersama dengan beliau juga. Dia tak ada cerita soal tu (keluar parti)..cerita pasal makan ketupat sahaja.
“Jadi maksud saya, bahawa mungkin desas desus itu tidak berasas. Kenapalah orang nak beri sasaran dan tumpuan kepada Bersatu..apa mereka bimbang dengan Bersatu? Parti kecil sahaja, jadi kalau tiada cerita itu lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat keenam Majlis Pemulihan Negara (MPN), hari ini yang disiarkan di Facebooknya.
Menurutnya, setakat yang beliau ketahui perkara berkenaan adalah tidak benar.
“Bagi saya tidak betul setakat yang saya tahu, mungkin tiada orang cerita dengan saya, tetapi apa yang saya ketahui perkara itu tidak berlaku.. Insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kedudukan jawatan menteri yang disandang Zuraida atas kapasiti Bersatu, Muhyiddin berkata beliau akan berjumpa dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas Perdana Menteri berjumpa dengan Zuraida.
“Saya sudah berhubung dengan Perdana Menteri, kedudukan (jawatan menteri) itu saya telah saya nyatakan dalam kenyataan sebelum ini dan Perdana Menteri maklum kepada saya dia akan berjumpa saya selepas berjumpa dengan Zuraida.
“Apapun saya sudah beritahu bahawa dari segi pendirian Bersatu..jawatan Zuraida adalah atas kapasiti sebagai ahli Bersatu. Kuota itu adalah kuota Bersatu, tetapi keputusan untuk melantik siapa itu hak Perdana Menteri. Kita akan calonkan nama yang dianggap sesuai untuk menggantikan Zuraida
“Saya sedang menunggu tarikh dan pihak Perdana Menteri akan maklum bila masa yang sesuai,” katanya. – Malaysiapost

