Hal Ehwal Bumiputera di bawah JPM

0
3
PUTRAJAYA, April 25 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin during special interview at his office at Perdana Putra today. --fotoBERNAMA (2020) COPY RIGHTS RESERVED

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju meletakkan Kementerian Hal Ehwal Bumiputera di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri, berkata setelah meneliti beberapa resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 1 (KEB 1) yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini, beliau bersetuju dengan beberapa cadangan itu.

“Saya memberi jaminan segala resolusi di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 1 akan diberi perhatian dan mana yang wajar akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 1 (KEB 1) 1965-2020 di Kuala Lumpur, hari ini.

KEB 1 hari ini, menggariskan 13 resolusi yang perlu diberi perhatian bagi memperkasakan semula Bumiputera, selain menterjemahkan semua peluang dan hak dengan lebih bijaksana.

Selain itu, kerajaan bersama semua pemegang taruh Bumiputera perlu sepakat bertindak secara kolektif memajukan dan memakmurkan Bumiputera di atas secara adil dan saksama, tanpa mempertikaikan, atau merampas hak dan kepentingan pihak lain.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti dokumen dan resolusi berkenaan bagi memastikan agenda Bumiputera diberi perhatian.

“Semangat kekitaan perlu ada untuk memastikan kita saling bantu membantu untuk membangunkan masyarakat Bumiputera secara menyeluruh,” katanya.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih teguh untuk melaksanakan agenda Bumiputera.

Ia termasuk memperkasakan modal insan dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi.

“Selepas 50 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, komitmen kerajaan masih teguh, Perikatan Nasional masih teguh untuk melaksanakan agenda Bumiputera,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi pula, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 1.1 trilion dalam Rancangan Malaysia Ke 7, 8, 9 dan 10.

“Ia untuk membuka peluang perolehan membantu usahawan Bumiputera termasuk melalui Program Pembangunan Vendor atau PPV.

“Antaranya sejumlah RM674.4 bilion perolehan Kerajaan Pusat telah diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dalam tempoh 1996 hingga 2015.

“Peruntukan ini merupakan antara bukti komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan Dasar Bumiputera dalam Perolehan Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kerajaan mengambil langkah awal menangani impak Covid-19 ke atas ekonomi, termasuk penawaran kerja undian kepada kontraktor G1 Bumiputera.

Katanya, kerajaan juga sedang memperkukuh pelaksanaan Dasar Bumiputera dalam perolehan kerajaan melalui beberapa penambahbaikan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan pelaksanaan dasar.

“Dalam masa sama, kerajaan terus memberi bantuan pinjaman kewangan melalui SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan beberapa institusi lain.

“Usaha murni membangunkan agenda Bumiputera kini diteruskan dibawah aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama untuk menangani ketidaksaksamaan, menstruktur ekonomi dan membina negara Malaysia bagi menghadapi era yang lebih mencabar dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya. -Malaysiapost