Maszlee bidas KPM, Radzi tidak hadir mesyuarat PCS

0
2

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik membidas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin kerana tidak menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PCS), semalam.

Beliau berkata, mesyuarat itu bagi membincangkan mengenai pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini, kerana isu itu melibatkan kepentingan rakyat dan masa depan pendidikan negara.

“JKPKP melalui Setiausaha Dewan Rakyat telah memanggil Menteri KPM atau wakilnya untuk memberikan pencerahan dan penerangan mengenai rasional, persiapan dan juga alternatif kepada tindakan tersebut.

“Malangnya KPM dan Menterinya memilih untuk tidak hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, perkara itu amat dikesali kerana ia meremehkan kuasa Parlimen dan merendahkan konsep pengasingan kuasa yang wujud di negara ini.

“Sikap tidak profesional ini juga menimbulkan seribu tanda tanya apakah menyebabkan mereka takut berhadapan dengan Parlimen melalui JKPKP? Apakah yang ingin disembunyikan?

“JKPKP amat kesal dengan sikap KPM dan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara ini dalam waktu yang terdekat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKPKP juga akan bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan perkara itu.

Pada 2 Jun lalu, Radzi mengumumkan pemansuhan PT3 pada tahun ini.

Sebaliknya, beliau berkata, KPM mengambil pendekatan untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Katanya, biarpun kini tiada peperiksaan pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3, penguasaan dan pencapaian murid boleh diukur melalui pentaksiran secara sumatif yang dijalankan pada akhir tahun, bermula tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here