Siasat ejen pengambilan pekerja asing dari luar negara – PAPSMA

0
2

KERAJAAN perlu menyiasat ejen pengambilan pekerja asing terutamanya dari luar negara yang menawarkan majikan kaedah lebih mudah dan kelulusan lebih cepat berbanding prosedur biasa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr Sukumaran Nair mendakwa, tawaran itu membuatkan ada majikan terpedaya sedangkan prosedur daripada kerajaan biasanya mengambil masa.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia seharusnya melibatkan ejen dari Malaysia untuk pengambilan pekerja asing di Malaysia dan bukan ejen dari luar negara.

“Ejen dari Malaysia mempunyai lesen atau kuasa terlibat dalam pengambilan pekerja asing tetapi ejen dari luar tiada lesen atau kuasa sebegitu.

“Jika kita (ejen Malaysia) tidak boleh melakukan perkara itu (uruskan pengambilan pekerja asing) di luar negara, mengapa ejen luar boleh pula boleh menyediakan perkhidmatan pengambilan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa ahli PAPSMA mendakwa pelanggan mereka ‘dicuri’ ejen dari Bangladesh dan Nepal dengan menjanjikan kelulusan lebih cepat yang luar daripada kebiasaan diamalkan kementerian.

“Ramai pelanggan kami beralih kepada mereka kerana tawaran sebegitu.

“Sebab itu kami minta kerajaan siasat perbezaan itu kerana ia bercanggah dengan prosedur biasa diamalkan kementerian seperti yang difahami,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, proses pengambilan pekerja asing membabitkan tiga negara iaitu Indonesia, Bangladesh dan Kemboja akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, ketika ini kementerian berada pada proses terakhir membabitkan prosedur pengambilan, proses teknikal dan pemeteraian memorandum dengan ketiga-tiga negara itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here