BEKAS Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), bersetuju bahawa tiada sebarang dokumen yang boleh menyokong adanya pembayaran rasuah dilakukan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya mencadangkan bahawa selain dari kenyataan lisan kamu (Wan Quoris) yang menuduh Zahid menerima rasuah dari UKSB tiada sebarang dokumen lain yang boleh mengesahkan perkara itu, boleh bersetuju dengan saya,” kata Peguam Datuk Zaidi Zainal ketika pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.
Cadangan itu, disusuli jawapan: “Saya setuju,” oleh Wan Qurois.
Sementara itu, beberapa nama didapati secara konsisten menerima bayaran dari pihak UKSB sejak 2014 hingga 2018 bagi setiap bulan berdasarkan bukti yang terdapat di dalam buku lejar ‘faraid’ UKSB.
Pihak pembelaan memberitahu mahkamah bahawa penama, Shahril dan Rosli, kedua duanya dicadangkan sebagai Setiausaha Bahagian (SUB) Imigresen dan SUB IT di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menerima bayaran antara RM15,000 hingga RM30,000 dan RM 50,000 setiap seorang.
Dua nama lain dirujuk sebagai FM dicadangkan sebagai ‘Foreign Minister’, yang menerima RM500,000 setiap bulan dan AK dicadangkan sebagai Akhbar Khan yang menerima antara RM18,000 hingga RM50,000 setiap bulan.
Wan Qurois bagaimanapun, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti dan tidak tahu identiti sebenar penama yang dicatat di dalam buku lejar tersebut.
Nama Khairy Jamaluddin beberapa kali dicatatkan di dalam lejar berkenaan namun tidak menerima bayaran secara konsisten. – Malaysiapost

