MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan segera mengambil tindakan tegas termasuk melaksanakan reformasi dan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen.
Menurut kenyataan bersama itu, tindakan tersebut bagi mencegah dan memerangi rasuah yang disifatkan makin berleluasa dalam kalangan tokoh utama politik dan perkhidmatan awam.
Majlis Presiden PH berkata, keadaan itu menimbulkan rasa risau serta marah selepas meneliti berita berhubung kejadian rasuah yang semakin menjadi-jadi.
“Terbaharu adalah keterangan mahkamah Tan Sri Mohd Sidek Hassan, mantan Ketua Setiausaha Negara merangkap ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), berdasarkan laporan media, beliau menerima bayaran sehingga sebanyak RM30,000 sebulan walaupun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan.
“Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini beliau masih memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan bersama membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam kes berhubung Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), seorang bekas pengarah syarikat itu mengatakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima di antara SGD200,000 (RM637,580) hingga SGD520,000 (RM1.65 juta) sebulan.
“Bekas pengarah itu juga berkata Khairy Jamaluddin melalui Umno Bahagian Rembau telah menerima di antara RM50,000 hingga RM200,000.
“Kedua-dua kes ini amat merisaukan, bukan hanya kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam.
“Justeru, beberapa reformasi dan tindakan tegas perlu dilaksana kerajaan pada kadar segera termasuk RUU Pendanaan Politik serta meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

