Presiden Umno diminta henti seketika ‘berpolitiking’ – Khairil Nizam

0
2

PAS menyeru kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berhenti seketika daripada ‘berpolitiking’ kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.

Ketua Penerangan PAS, Senator Khairil Nizam Khirudin, berkata Ahmad Zahid seharusnya memberi fokus menggerakkan jentera Umno untuk bersama Perdana Menteri Datuk Seri Isamil Sabri Yaakob dan kerajaan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat.

“Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi.

“Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam turut menyeru kepada semua Ahli Majlis Tertinggi Umno menasihati Presidennya yang seringkali memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk segerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, sebagai ketua parti besar orang Melayu, Presiden Umno haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan.

“Tujuan PAS menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan. Jangan diheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti,” ujarnya.

Dalam masa sama, Khairil Nizam berkata seperti mana Ahmad Zahid mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan pengukuhan Umno, begitu juga hasrat kerajaan mengutamakan kestabilan negara.

“Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Berikan sokongan tidak bersyarat kepada Perdana Menteri untuk beliau dan kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here