PADAH menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang dua lelaki warganegara Filipina didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, memaklumkan terdahulu kedua-dua lelaki terbabit ditahan dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya pada Rabu lalu.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua lelaki terbabit kemudian didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki kad pengenalan diri palsu dan milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri.
“Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan sebutan semula kes ditetapkan oleh mahkamah bagi bacaan fakta kes dan jatuh hukum pada 17 Jun dan 9 Ogos ini serta tahanan juga tidak ditawarkan jaminan,” menurut JPN.
Berdasarkan fakta kes tertuduh, Renie Alih dan Litok Sidek, telah ditahan di sekitar Shah Alam, Selangor dalam satu operasi oleh JPN Putrajaya.
Di dalam operasi tersebut, 16 orang diperiksa dan selain dua lelaki warganegara Filipina yang ditahan, turut ditahan empat lelaki warga Filipina yang tidak memiliki sebarang pengenalan diri dan seorang wargan Indonesia yang tamat tempoh visa.
Menurut JPN kelima-lima tahanan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.
“Sehubungan itu JPN menyeru serta ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama untuk membuat aduan terus kepada pihak berkuasa bagi setiap isu penyelewengan yang dikesan.
“Ini agar setiap kesalahan yang dilakukan dapat diambil tindakan penguatkuasaan yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat amnya,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Jabatan Pendaftaran Negara

