DEWAN Ulamak PAS Pusat menegaskan agar umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana unsur-unsur keagamaan yang terdapat dalam festival berkenaan.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya, berkata meskipun terdapat pandangan yang menjelaskan festival tersebut turut berkait dengan kebudayaan Jepun, namun itu tidak sesekali mengenepikan pandangan bahawa ia tetap mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.
“Prinsip ini selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Kesemua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran aqidah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, dalam hal itu, alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbangkan bersama.
Dalam masa sama, Dewan Ulamak PAS Pusat mencadangkan agar Kerajaan Negeri Kelantan tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan di dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 yang telah diadakan pada Mei lalu.
Katanya, ia setelah dikenalpasti festival itu mempunyai unsur-unsur keagamaan yang boleh merosakkan akidah dan dicontohi oleh semua pihak.
“Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival berkenaan.
“Nasihat yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama tersebut jelas berpandukan maslahah orang ramai,” ujarnya.
Tegas Ahmad, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain.
“Ia perlu dibendung secara konstruktif bagi menjaga maslahah ummah di negara ini,” katanya.- Malaysiapost

