PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.
Sebaliknya, RUU itu akan dibentangkan semasa mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 18 Julai depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keputusan tersebut dibuat selepas Perdana Menteri mempertimbangkan beberapa perkara termasuk penjimatan kos operasi Dewan Negara dan Rakyat sebanyak RM1,077,600.
“Beberapa faktor telah dipertimbangkan semasa sesi perbincangan bersama Perdana Menteri antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi kedua-dua dewan dijangka boleh digunakan untuk perkara-perkara lain seperti membantu kelangsungan rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya, kebanyakan Ahli Parlimen sedang menyertai lawatan ke luar negara pada ketika ini sehingga pertengahan Julai 2022 bagi mengikuti program-program anjuran Parlimen yang tidak boleh ditangguhkan.
“Sebagai contoh terdapat dua Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan ke luar negara pada awal bulan Julai sehingga pertengahan Julai 2020 iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan,” katanya.
Wan Junaidi berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti akan dibahaskan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai 2022 sebagaimana takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Beliau berkata, pembentangan RUU mengikut takwim yang telah ditetapkan kelak akan memberi masa yang mencukupi untuk RUU tersebut diteliti oleh Ahli Parlimen sebelum ia dibahas berbanding menerusi Mesyuarat Khas.
“Perkara ini tidak dapat dilaksanakan jika Mesyuarat Khas diadakan. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa jika Mesyuarat Khas diadakan, ia hanya dapat diadakan pada pertengahan bulan Julai 2022 memandangkan ketiadaan ramai Ahli Parlimen sebelum pertengahan bulan Julai,” katanya.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan mengadakan Mesyuarat yang terakhir dalam masa yang terdekat untuk mengesahkan penyata yang telah disediakan.
“Penyata ini akan dibentangkan semasa Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, RUU berkenaan bertujuan menghalang Ahli Parlimen daripada bertukar parti dan merupakan agenda utama dalam MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan. – Malaysiapost

