KPDNHEP Selangor rampas 55,200 diesel bersubsidi disyaki diseleweng

0
3

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Klang, semalam dan merampas sebanyak 55,200 liter dengan nilai rampasan dianggarkan RM605,000.

Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, Azman Adam berkata, hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan, Unit Operasi (STAS) Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Selangor membuat serbuan terhadap sebuah premis stor minyak diesel tanpa nama di Klang.

“Hasil serbuan membabitkan tahanan tiga lelaki tempatan berusia 25 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

“Pasukan serbuan menemui lapan unit tangki gelongsor berkapasiti maksimum 20,000 liter bagi setiap satu unit, empat lori dan empat unit badan tangki lori serta peralatan lain yang digunakan bagi kerja pemindahan diesel,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, berdasarkan pengisytiharan stok dan pemeriksaan oleh pasukan serbuan, anggaran jumlah minyak diesel dalam tangki adalah sebanyak 55,200 liter.

“Premis yang diserbu juga didapati tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran dari Pengawal Bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi jenis minyak diesel.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan; dibaca bersama, Peraturan 3 PPKB 1974 – Berurusan Barang Kawalan Berjadual tanpa lesen.

“Selain itu, Subseksyen 20 (1) AKB 1961 iaitu memindahkan, membenarkan artikel dikawal untuk dikeluarkan atau membenarkan artikel disimpan di mana-mana premis yang tidak berlesen atau diberikan kelulusan oleh Pengawal untuk penyimpanan dan Subseksyen 7(4) AKB 1961 kerana gagal mengemukakan lesen atau surat kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP komited dalam membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan serta bersubsidi bagi memastikan keberadaan bekalan barang berkenaan di pasaran sentiasa stabil dan dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.

“Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi demi kepentingan pengguna,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here