PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pulau Pinang berjaya merampas minuman keras bernilai RM118,691 dalam dua serbuan Op Kontraban di Taman Nagasari, Perai, Pulau Pinang, semalam.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim, berkata serbuan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Unit Risikan Marin (URM) kira-kira jam 11 pagi hasil dari maklumat awam.
“Pasukan serbuan telah menahan dua orang warga asing berumur 30 hingga 40 tahun dan telah merampas sejumlah 554 liter minuman yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam bernilai RM118, 691.
“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
“PPM Wilayah Satu sentiasa menyeru orang ramai untuk menyalurkan semua maklumat kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lain-lain.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus melalui talian telefon 04-6558222,” katanya. – Malaysiapost

